Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman,
Yang Berhormat Naib Presiden-Naib Presiden,
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah,
Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi,
Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional,
Dif-dif Kehormat,
Para Perwakilan, Pemerhati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
MUKADDIMAH
Saudara dan Saudari sekalian,
Alhamdulillah,  dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi  Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita  dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan  selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan  kepimpinannya.
Berbekal rasa tawadhu’ dan kerendahan hati,  Perhimpunan Agung UMNO kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah  1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi  Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi. Baginda telah  kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua  pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman  agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.
Menyisir  sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung  itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat  kepimpinan penuh berteladan. Baginda telah didokong dan didamping, penuh  kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku  teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah  Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.
Seterusnya,  Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan  kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali,  Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban  apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah  sepertimana Saidina Hamzah.
Sayugialah, para cendekiawan dan para  pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam  menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi. Semuanya dipintal dan  diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih  kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan,  kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya  bertawakal kepada Allah.
Saudara dan Saudari,
Menjejaki  laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya,  bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan UMNO, yang selama ini turut  dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah  parti penuh berjasa.
Tahun ini, UMNO menyambut kelahirannya yang  ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang  menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah  serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.
Sungguh  jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap  cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak  taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti  kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan  mungkin padam cita-cita.
Bahkan, derap demi derap, terus menyusun  strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang  panji-panji bangsa, agama dan Negara.
Saudara dan Saudari,
Bersesekali  dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan  berdiri......, bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para  pendahulu, kesatria-kesatria UMNO, warga parti yang tidak didendang  serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh  perjuangan mulia ini. Marilah....., marilah, kita angkat tinggi  penghargaan kepada semuanya.
Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh  tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti  Allahyarham Dato’ Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun  Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail dan  Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih  teguh berbakti hingga ke detik ini, seperti Tun Dr. Mahathir, Tun  Abdullah Badawi dan Tun Musa Hitam.
Saudara dan Saudari,
Khususnya,  kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan  Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO yang telah memungkinkan sebuah  negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas  pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba  yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.
Saudara dan Saudari,
Sememangnya  termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan  Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni UMNO, bersama dengan rakan-rakannya.  Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu  jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera  beserta kaum-kaum lain di Malaysia.
Berkat pengurusan negara yang  begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah  berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali  dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada  sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di  mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras  kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya  dibasmi.
Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai  bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan  pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui UMNO. Dalam kata lain, ia tidak  terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.
Lantas,  usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah  sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah  parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan  diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi  kebajikan dan kegemilangan pertiwi.
Saudara dan Saudari sekalian,
Menghayati  ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika  membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita.  Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai  pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab  kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah  akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.
Saudara dan Saudari,
Pada  perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari  sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar  bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang,  Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak. Hatta  Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu,  ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki  dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira  Melayu…
Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya  belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun  dalam parti, bersempena pula UMNO sudah menjangkau satu umur yang sangat  dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau  dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO.
Maksud  saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya,  tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli UMNO. Sebaliknya, kita  perlu menjadi orang UMNO. Makna kata, orang UMNO yang tergambar dan  terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang  dipegang.
Saudara dan Saudari,
TAAT DAN SETIA
Pertama  sekali, orang UMNO itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti.  Orang UMNO tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti.
Kita  faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan  pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa  rahmat dan bukannya mengundang mudarat.
Dalam berijtihad pula,  orang UMNO harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham  pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti  difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa’, apabila sesuatu  keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah  ditaati.
Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid  yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh  Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang  berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.
Seterusnya,  Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut  arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang  panglima yang berpengalaman di medan perang.
Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang UMNO.
Bercakap  tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk,  dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak  halnya.
Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main  belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi  kelingking berkait.
Saudara dan Saudari,
CINTA DAN KASIH
Adapun  nilai kedua orang UMNO itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada  perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee,  dalam lagunya… itulah kasih mesra, sejati dan mulia.
Dalam hal  ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang UMNO itu juga  adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat  serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.
Ajaran  agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana  kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul  zaman.
Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa  kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan  parti, selagi hayat dikandung badan.
Seperkara utama lagi adalah,  cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk  mencintai parti, orang UMNO wajar kenal sejarah parti, samada yang  tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip  serta falsafah perjuangannya.
Pendek kata, orang UMNO harus  melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib  orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang UMNO  sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang  dicintai.
Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang UMNO  wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta  poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia  berbagi cinta…tak mungkin Pak...engga’ bisa Pak…
Saudara dan Saudari,
BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN
Orang  UMNO itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup  berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri  orang UMNO.
Bersandarkan prinsip persalingan, orang UMNO harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat.
Beringatlah  bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa  merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka,  biar betapapun jua diam gerak geri mereka.
Di sudut lain, sambil  menghadam peradaban Melayu, orang UMNO perlu bermuhasabah ke dalam diri  masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih  bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah?
Mahu tidak mahu, orang  UMNO harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan  UMNO menang, biar dilintang apapun dugaan, orang UMNO mesti terus  berdamping dengan rakyat. Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi,  tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.
Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.