Nuffnang Ads


Wednesday, March 21, 2012

Kisah awesome Tan Sri Tony Fernandes dan Air Asia..!!



Setelah mengumpul dan membaca kesemua artikel yang aku senaraikan kat bawah nie aku rasa kagum yang teramat pada insan yang bertuah ini.. kini beliau merupakan salah seorang dari kalangan manusia yang paling kaya didunia.. dan kekayaan yang beliau kecapi kini bukanya datang dengan mudah.. segalanya diceritakanya dibawah..

Artikel dibawah ini memang panjang gaban.. akan tetapi apabila selesai membaca kesemuanya.. korang pasti akan jadikan Tony Fernandes idola baru korang untuk berjaya.!!





Air Asia kembali jadi perbualan ramai sejak umum kerjasama dengan MAS, ada banyak khabar angin, sebab itu kami mahu tanya sendiri semuanya dengan Tan Sri?
 
Ya, ada banyak khabar angin (mengenai Air Asia) antaranya kononnya dimiliki Tun  Daim Zainudin dan lain-lain, selama ini saya tidak mempedulikannya, tetapi selepas kita bertemu, saya fikir, ya mengapa tidak dijelaskan saja.

Termasuk soal kerjasama MAS-Air Asia, saya tidak kisah untuk bercakap mengenainya, mengenai Wee Cho Keong (ahli parlimen Wangsa Maju), mana informasi yang dia dapat, semuanya mengarut.Dia telah ‘menyerang’ kami (Air Asia) sejak lima tahun lalu, tanpa saya tahu sebabnya, (mungkin) satu kapal terbangnya lambat… hmmm (ketawa).Hari ini kamu tanya saya apa saja, Kalimullah, apa saja yang kamu mahu tahu, Tun Daim, Ananda Krisnan, KJ (Khairy Jamaluddin) semuanya.


Mungkin Tan Sri boleh ceritakan dari awal, bagaimana ia bermula, siapa yang terlibat dan yang berkaitan dengannya?

Saya dan Kamaruddin berdua pada mulanya, Kamaruddin saya kenal melalui Roslan Aziz, dulu saya bekerja dalam industri hiburan, bila saya balik (dari England) tidak ada musik tempatan, hanya ‘Mat Saleh musik’.
Kami mulakan musik tempatan, dengan Jamal Abdillah, Salem, dan Zainal Abidin, saya kenal dengan Roslan Aziz dan Roslan perkenalkan saya dengan Kamarudin.

Sampai satu hari saya jemu berkerja dengan orang asing, saya terfikir hendak buka syarikat penerbangan, dan Kamarudin adalah orang yang tidak ketawa dengan idea saya. Dia orang yang terlibat dengan dunia kewangan. Jadi saya beritahu, boleh pergi cari RM20 juta, kita perlukan.




Mengapa syarikat penerbangan yang jadi pilihan anda?

Bila saya bersekolah di England, ayah saya hantar saya ke sana ketika berusia 12 tahun, tidak ada siapa yang menunggu di lapangan terbang, saya perlu menaiki bas ke sekolah itu, saya lakukan sendiri. Dan bayangkan ketika itu, bila saya sampai ke lapangan terbang, semua orang berkulit putih… kah kah kah (ketawa).


Ketika itu tidak ada telefon bimbit, perlu guna telefon awam, saya telefon emak tanya, boleh saya balik masa cuti penggal, emak saya kata, tidak boleh kerana (tiket penerbangan) terlalu mahal. Dari saat itulah, saya terfikir, satu hari perlu buat penerbangan murah, perkara itu sentiasa ada dalam fikiran saya.

Ibu saya ketika muda memulakan perniagaan Tupperware di Malaysia, banyak staf saya kini adalah bekas pekerja ibu saya.Saya selalu ikut dia terbang ke sana-sini untuk perniagaannya, jadi konsep penerbangan tambang murah ini sentiasa bermain di fikiran.


Bila saya berhenti dari Warner Music, saya duduk di bar dan lihat iklan Easyjet (syarikat penerbangan murah England) dan saya terfikir wow, idea ini bagus. Kemudian saya pergi ke lapangan terbang Luton, sunguh mempersonakan, boleh terbang ke Barcelona tambah lapan pound, ke Paris 10 pound.

Saya jumpa Kamarudin dan beritahu hendak buka syarikat penerbangan, dia tak kata ‘idea bodoh’ atau seumpamanya, dia kata okay.Kami jumpa, saya terangkan kepadanya, dia kata, okay, saya join, dan kemudian tanya, apakah saya nak gunakan duit saya sendiri, saya kata ya, dia kata okay, saya setuju kita bahagi 50-50, saya kata ini idea saya bagilah saya 51, dia kata okay. Selesai.





Kemudian saya ajak Aziz Bakar sertai kami, kami bertiga dengan modal RM 1 juta, (Aziz tak letak duit). Kami mula duduk bersama, dan mula buat bisnes plan.Ia agak mengejutkan sebab kami semua tidak ada pengalaman dalam dunia penerbangan. Kami dapat dari internet.

Kemudian, kami jumpa dengan Datuk Pahamin (Ab Rajab) (bekas Ketua Pengarah Jabatah Pengangkutan Jalan) kami pernah berkerjasama hapuskan cetak rompak ketika saya masih dalam industri hiburan.Kami jumpa (bertiga) dan makan roti canai, kemudian Aziz buka cerita, “eh macam mana kita hendak dapat lesen penerbangan? “ Kami semua saling berpandangan, “Yalah macam mana hendak dapat lesan penerbangan..” sudah tentu tak boleh dibeli di kedai… kah kah kah (ketawa)

Kemudian Kamaruddin kata “Kita perlukan sokongan politik,” sekali lagi kami saling berpandangan… kami tak kenal siapapun… kah kah kah

Kami kemudian pergi jumpa Datuk Pahamin, terangkan kepadanya, dia suka idea itu dan setuju, dia ada pengalaman dalam Kementerian Pengangkutan, bila timbul soal lesen, dia kata, kita perlu berjumpa Perdana Menteri Dr Mahathir.

Jun 2001, kami bertiga saya, Aziz dan Pahamin, Kamarudin tidak dapat sertai.
Saya sampai awal, ketika sampai, pagar pun belum buka, tidak lama kemudian, bila boleh masuk, kami duduk menunggu sampai ada orang datang, mereka kenal Aziz, dan tanya “Jumpa PM sebab cetak rompak ke?” kah kah kah

Semua orang kenal kami sebagai orang dalam industri hiburan, tapi Aziz kata “Tidak kami mahu buka syarikat penerbangan,” “semua ketawa” kah kah kah.

Semasa kami menunggu, ada pegawai PM beritahu, hari ini bukanlah hari yang baik untuk bertemu PM, saya tanya mengapa, katanya, temujanji pertama PM hari itu adalah dengan pembangkang.

Ia berhubung isu sakit belakang Anwar Ibrahim yang dipenjara ketika itu, yang hadir jumpa PM termasuk ketua pembangkang Datuk Fadzil Noor.

Saya diam, kemudian diberitahu, temujanji kedua PM hari itu adalah dengan MAS, wah lengkap, mula-mula pembangkang kemudian dengan MAS, kamu bayangkan…kah kah kah (ketawa)
Saya terfikir hendak tulis semula CV dan pergi ke BMG Music… hahaha

Ketika beliau masuk ke pejabat PM, luas sungguh, Dr Mahathir kamu tahulah, dia serius orangnya dan terus berkata, “I’m sick, make it fast,”.

Saya terfikir, mula-mula pembangkang, kemudian MAS dan kini PM kata dia tidak sihat. Hahaha, lengkap.

Saya fikir habislah, saya tidak bercakap soal cadangan kami lagi, sebaliknya, sebagai orang dari industri hiburan, saya beri PM satu CD album terbaru SM Salim dan Siti Nurhaliza, rakaman terakhir saya, saya tahu PM peminat SM Salim.

Bila hilang kekok, baru saya bentangkan cadangan saya, Dr Mahathir tidak kata apa-apa, dia hanya senyum sikit bila saya bergurau tentang Singapura, tetapi akhirnya, kami semua terkejut, kerana PM tahu semuanya tentang penerbangan tambang murah.

PM kata dia suka lihat kesungguhan kami, walaupun latar belakang kami bukan dari industri penerbangan, tapi kami menunjukkan kesunguhan, dan dia yakin akan berjaya.

PM akhirnya kata, “Saya tidak ada masalah dengan idea kamu…”  kami semua teruja dengan komen dia untuk setengah minit, dan kemudianya dia kata “Tapi… kamu kena ambil alih syarikat penerbangan yang ada, ada dua syarikat penerbangan yang gagal, kamu kena ambil alih yang sudah ada…”

Pertemuan berakhir, kami keluar dan berfikir, duit ada sejuta sahaja, macam mana hendak beli syarikat penerbangan, tapi saya positif.

Kami pergi ke Pelangi Air, anak syarikat milik kerajaan Terengganu, tapi kami dapati sukar untuk baik pulih syarikat itu.

Entah bagaimana, satu hari saya sedang bermain golf saya terlihat kawan lama DRB Hicom, saya teringat tentang Air Asia kepunyaan mereka, saya tanya kepadanya, dia soal semua, “kamu mahu membelinya? Esok pun boleh…kami tidak mahukannya”

Kemudian kami atur pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi DRB Hicom, konsisten, mereka mahu jualnya, mereka tanya saya berapa saya hendak beli, saya bergurau RM1, ya kata mereka esok kamu boleh ambil alih.

(Nota: Ketika itu Air Asia ada hutang sebayang RM40 juta, dengan dua pesawat dan 254 kakitangan)

Kami setuju dan tandatangan perjanjian pada 8 september 2001, 10 tahun dulu.Kami tiada modal, saya dan Kamaruddin cagarkan rumah kami pada bank untuk cari modal.DRB Hicom banyak membantu kami diperingkat permulaan, saya perlu nyatakannya.Kami syarikat penerbangan berlandaskan syariah sebenarnya. Kami satu-satunya penerbangan yang tidak menjual alkohol di rantau ini.


(Ahmad Faizul)  ini antara paling awal sertai kami. Dia buat macam-macam tugas, pengurus kabin crew dan lain-lain. Dia dari MAS, sekarang dia jaga komunikasi saya.Dia bacth yang ke lapan, satu sampai tujuh staf asal ketika bersama DRB Hicom lagi, dia yang ke lapan, dan kini kami ada 127 bacth dalam masa sepuluh tahun.

Saya ingin tekankan bahawa, kami syarikat 1Malaysia dari awal lagi, dan kami juga syarikat bumiputera, ini bukan Ali-baba, Kamaruddin, Aziz Bakar dan Datuk Pahamin adalah pemegang saham yang aktif dan kami kawan.

Kalau kamu lihat Pegurus Kanan Air Asia kamu dapati ramai bumiputera, tapi tidak pernah terfikirkannya, dan kami tidak bercakap soal kaum di sini, semua dinilai kerana merit masing-masing.Majoriti staf adalah bumiputera. Pembahagian tugasnya mudah, Kamarudin jaga kewangan dan korporat, Aziz Bakar jaga PR, dan saya jaga marketing dan operasi.





Apa laluan penerbangan yang mula-mula anda perolehi?

Memula-mula saya dapat laluan ke Langkawi, kemudian dapat Pulau Pinang dan selepas dua tahun kami beroperasi semuanya jadi lebih mudah. Pada kami orang ramai, rakyat yang banyak membantu kami.
Kerana sebelum itu sukar untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan (mahal). Orang ramai yang berjuang untuk kami. Sebenarnya orang pertama yang membantu kami dari segi media adalah Rokcy Bru (Ahtirudin Atan) dan NST.


Dia adalah editor Malay Mail, saya duduk dengan beliau, dan beliau banyak membantu, juga Utusan dan Berita Harian, Datuk Manja Ismail. Aziz Bakar kenal mereka ini semua. 

Apa cabaran-cabaran yang anda hadapi?

Macam-macam, antaranya Sars (virus), selsema burung, orang takut untuk terbang, semasa Sars (kematian pertama rakyat Malaysia pada 5 April 2003) yang menjadi bukti semangat Air Asia tidak luntur. Kebanyakkan syarikat penerbangan kurangkan pengiklanan.

Kami pertingkatkan iklan, saya tahu orang ramai, mereka mahu tambang murah, jika RM800 ke Kota Kinabalu, mereka akan fikirkannya, tetapi jika tiketnya hanya RM80, tiada yang kisah tentang virus sars. (ketawa)Penumpang tidak penuh, tetapi okay. Juga masa bom Bali (Disember 2002), ramainya batalkan penerbangan, kami dan NST lancarkan kempen bersama. Kami selalu lawan cabaran ini.





Bagaimana anda membina syarikat ini?

Kami membina jenama, tidak ada syarikat Malaysia yang melabur seperti kami, kami taja MU, pengadil, Formula 1, LA Rangers, kamu tidak boleh pergi dari 200,000 penumpang kepada 30 juta penumpang tanpa melabur.

MAS perlu membina jenamanya.Taja golf atau apa saja, Emirates ada di mana-mana. Kamu potong kos di sana sini, dan akhirnya kamu tiada keuntungan, tiada gunanya.Syarikat Malaysia kurang pentingkan pembangunan  jenama, kami sebaliknya, saya ke Liga Perdana Inggeris, bentangkan kepada mereka mengapa perlu menyokong syarikat Malaysia.

Ini kerana rakyat Malaysia sudah menonton Liga Perdana Inggeris sejak 60 tahun dulu.Membina jenama adalah amat penting pada syarikat yang ingin berkembang, ketika kami menaja MU, saya dan Kamarudin ke Old Trafford, kami tidak menonton perlawanan, kami menonton papan iklan… hahaha wow Air Asia.. haha.
Kami bawa pasukan MU dalam penerbangan kami. Itulah kali pertama semua pemain hendak ikut serta dalam program bersama penaja, kerana apa? Kerana ada 25 gadis cantik (kabin krew Air Asia) yang melayan mereka sepanjang penerbangan… hahaha.. Kami melabur banyak pada membina jenama.





Bagaimana timbul cerita Air Asia dan Khairy Jamaludin…?

Oh KJ, okay saya ceritakan, saya tidak mengenalinya, hinggalah kami bertemu di satu majlis rumah terbuka, kami berbual, kemudian dia datang bertemu saya untuk pasukan bola My Team.Dia kata bolehke kami bawa pasukan My Team ke Old Trafford… saya kata idea hebat, kerana idea pada kami adalah tentang impian… dan dari situlah masalah bermula.

Orang kata itulah linknya macam-macam. Sebenarnya kami tidak dapat apa-apa, apa yang kami perolehi kebanyakkannya di zaman Dr Mahathir dan Datuk Seri Najib, di zaman Pak Lah hanya sedikit.

Bukankah Air Asia dapat laluan antarabangsa di zaman Pak Lah?

Tidak, laluan antarabangsa pertama kami ketika zaman Dr Mahathir. Laluan yang kami dapat di zaman Pak Lah adalah KL-Singapura (yang jadi kontroversi).Jadi cerita KJ hanyalah tentang bolasepak. Memang kami melobi, kami melobi semuanya. Kami perlu melakukannya untuk survive.

Kami dikecam kerana saya rasa apabila kamu mengecam Air Asia kamu dapat banyak publisiti. Kami adalah syarikat orang ramai.Lembaga pengarahnya orang yang sama sejak awal. Tidak ada (Tun) Daim, Mohzani (Mahathir) Nazir Razak, semua yang dilinkan dengan kami. Lembaga pengarahnya orang yang sama.


Timbul cerita anda proxy kepada Ananda Krisnan kerana AK pada setiap pesawat?

AK sebelum masa saya ambil alih. DRB Hicom pilih AK, bila mereka mulakan Air Asia, ada AA, AB, AC… AA ialah American Airlines, AB kepunyaan orang lain, AC Air Canada… dan mereka dapat AK, kalau AK (Ananda Krisnan) saya punya tauke, saya tidak ada masalah (seperti ini).
Kamu boleh periksa rekod, Tan Sri Yahaya Ahmad (Allahyarham) yang pilih AK, ketika itu saya masih dalam industri hiburan.

Apa cerita dengan Kalimullah?

Kisahnya bermula bila saya ada idea mengenai Air Asia X, kami mencari pelabur, ECM (Libra) antaranya (syarikat dikaitkan dengan Kalimullah). Jadi bila kami hendak mulakan, Kalimullah kata boleh dia melabur, dan dia letak duitnya sendiri, saya kata okaylah. Dia dan rakan kongsinya.
Saya, Kamarudin, Azran (Osman Rani, Datuk Pahamin, Aziz Bakar, semua join, dan Kalimullah masih pemegang saham.

Apakah Azran dibawa masuk oleh Kalimullah?

Tidak, saya yang bawa dia masuk, saya bertemu dengannya dalam satu program Khazanah dan bawa dia masuk.
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               Ada dakwaan yang mengatakan kerjasama Air Asia dan MAS ini hanya menguntungkan anda dan membunuh MAS?

Idea tentang kerjasama ini adalah kita hidup dalam dunia yang global, dan Malaysia adalah negara kecil. Dalam dunia penerbangan, Air Asia, Air Asia X dan MAS perlu bersaing dengan SIA (Singapura Airlines). SIA memiliki Tiger Air.Kita perlu bersaing dengan Qatar, Emerites dan banyak lagi syarikat besar dan kukuh.
Falsafah kami dalam kerjasama ini adalah daripada bersaing sesama sendiri, mari kita berkerja bersama, dengan berkerja bersama ini, kita akan jadi syarikat penerbangan yang kuat dalam industri, mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.


Air Asia mempunyai 9000 pekerja secara langsung dan puluh ribu secara tidak langsung di Malaysia.
Jika kita bergaduh sesama sendiri, kita hanya akan membunuh sesama sendiri dan merugikan pembayar cukai.
Dan jika kita berjaya, kerajaan memungut lebih banyak cukai korporat, ia bagus kepada rakyat kerana mengurangkan cukai individu.

Jadi ideanya adalah syarikat Malaysia bekerjasama dalam dunia yang global.

Bila kita bersama, kita semakin kuat dan saya percaya Singapura (SIA) takutkannya. SIA bagus kerana kita lemah, Malaysia, Thailand, Indonesia semuanya mempunyai syarikat penerbangan yang lemah.
Perkara lain adalah, saya minta mereka yang kritik kami, supaya bertemu kami, dengar penjelasan kami.
Sekurang-kurangnya kamu dapat dua cerita. Saya tidak ada apa hendak disembunyikan. Kami hanya hendak lakukan yang terbaik kepada negara ini, pekerja dan pemegang saham.





Pembangkang mempersoalkan kerjasama MAS dan Air Asia… apa komen?

Kami dipersoalkan oleh kedua-dua pihak, ada 27 soalan di Parlimen mengenai kerjasama ini. Saya tidak mahu kata pembangkang benar atau salah, sebaliknya semua pihak sepatutnya datang bertemu kami dahulu.
Tiada ahli parlimen pembangkang atau kerajaan yang bertanya soalan bercakap dengan kami dahulu.
Sekurang-kurangnya ‘find out’ apa sebenarnya.

Persepsi yang dicipta selepas kerjasama ini adalah MAS tidak berada dalam posisi sebaiknya, lebih menguntungkan Air Asia dan kamu beli QPR (kelab liga perdana Inggeris) dalam masa yang sama?

Kalau kamu nak cari salah, kamu akan jumpa. Nilai syarikat berasaskan pasaran saham. Ia bukan bail-out, Air Asia tidak bawa masuk tunai ke MAS, ia perteukaran saham. Dan merisikokan kedua-duanya. Jika (saham) Air Asia menurun, MAS juga turun, jika MAS turun, saya dan Kamarudin juga rugi.

Ia bukannya bail-out. Dan mengenai pembelian QPR, kamu sedar tidak, sejak sebulan lalu, MAS dapat begitu banyak publisiti… sebelum ini jika kamu pergi ke London dan minta mereka namakan syarikat penerbangan dari Malaysia, mereka akan kata Air Asia. Kalau kamu ke Australia, mereka akan kata Air Asia X, Air Asia X belanja empat kali lebih banyak dari MAS (dari segi iklan). Kamu perlu berbelanja. Itu adalah promosi.

Sebenarnya kes QPR saya yang rugi, jersi mereka masih biru (warna MAS) bukannya merah… kah kah kah (ketawa) saya yang kena jawab dengan lembaga pengarah Air Asia.Tapi beri kami masa, saya yakin kerjasama antara MAS dan Air Asia akan menjadikan kita semua berjaya.





Tan Sri sebut tentang mengambil semua ‘lost trafik’ boleh dihuraikan lebih lanjut…?

Dengan kerjasama ini saya katakana, Malaysia punyai model yang sama dengan Singapura. Kita perlu ambil semula pasaran kita. Mereka untung dari pasaran Malaysia dan Indonesia. Apa yang penting untuk ambil semua trafik yang hilang kepada syarikat-syarikat lain. Contohnya, berapa ramai rakyat Malaysia pergi ke Jeddah, dan berapa ramai pulak yang menggunakan Jordanian, Emirates, Etihad, Egypt Air, kita ada empat pesawat sehari ke sana, dan dengan kerjasama ini kita boleh ambil semula ‘lost trafik’ tersebut. Kita bawa semula ‘lost trafik’ itu sahaja dan jika berjaya itu sudah cukup mengguntungkan kita.


 
alt

 
Saya terkejut tengok meja Tony Fernandes...


Selepas temubual satu jam 30 minit dengan Tan Sri Dr Tony Fernandes Jumaat lalu, kami dibawa meninjau suasana kerja di ibu pejabat Air Asia yang terletak di LCCT, Sepang.

Orang kepercayaan Tony, Ahmad Faizul menjadi ‘tour guide’ kami, menunjukkan persekitaran pejabat yang amat santai dan ringkas.

Jika anda biasa ke LCCT, ada satu pintu yang membolehkan anda naik ke atas, di antara barisan kedai-kedai, ada lif –satu-satunya dan lebih mudah menggunakan tangga.

Di tingkat satu, itulah Air Asia beroperasi, semua jabatan, dari pengiklanan, IT, undang-undang, promosi, sumber manusia dan di situlah juga pejabat Tony, timbalannya juga pengerusi syarikat.

Ketika Ahmad Faizul menunjukkan meja Tony, saya terkejut, ia sama sekali tidak ada bilik, ruang terbuka, begitu juga yang lainnya. Hanya satu meja kecil dengan dekorasi minima dan koleksi topi di hujung dinding.

“Kami memang begini, ketika temuduga antara kreteria calon kakitangan kami adalah, jika dia melihat pejabat, cara kami bekerja ini dan berkata ‘wow’ dan itulah dia orangnya…” kata Adzhar Ibrahim Ketua Jabatan Sumber Manusia Air Asia.

Jabatan Sumber Manusia itu sendiri hanya ruang kecil dengan beberapa kerusi. Ringkas tetapi terbukti berkesan.

Ini diakui sendiri oleh Tony, katanya, sejak tujuh tahun lalu, Air Asia tidak pernah memberhentikan pekerja mereka. Bahkan kakitangan berpeluang naik pangkat dengan mudah jika mereka berkebolehan dalam syarikat yang berkembang pantas itu.

“Kami tidak perlu kesatuan sekerja, kamu boleh pergi dan tanya kakitangan saya, mereka sendiri tidak mahukannya, banyak pihak luar yang datang melobi, tetapi kakitangan merasakan tidak perlu, kerana apa? Kerana mereka boleh bertemu saya bila-bila masa.

‘Tidak perlu melalui kesatuan sekerja, siapa saja boleh berjumpa saya jika ada masalah,” katanya.
 
 
tonyazran

Memang tidak ada protokol tertentu diamalkan syarikat tersebut antara bos-bos dan kakitangan bawahan. Mereka semua bakerja seperti satu keluarga besar.

“Ada kakitangan yang bermula sebagai penjaga kaunter cheak in bergaji seribu ringgit kini kapten pesawat dengan gaji RM30,000,” kata Azran Osman Rani, (gambar bersama Tony) CEO Air Asia X yang turut serta dalam temubual dengan Tony itu.

Kisah Air Asia adalah kisah tentang menukar mimpi menjadi kenyataan. Falsafah mereka, tiada yang mustahil.

Ketika meninjua persekitaran pejabat, kami terserempak dengan Datuk Kamarudin Meranum, saya pernah bersamanya, dalam ‘Ops Piramid’ ketika kerajaan Malaysia dengan kerjasama Air Asia dan MAS membawa pulang lebih 14,000 ribu rakyat dan pelajar Malaysia dari Mesir awal tahun lalu.

Sebagai syarikat korporat terkemuka, ia merupakan sumbangan Air Asia kepada masyarakat, bukan hanya di Mesir, bahkan misi yang serupa atau seumpama itu juga dibuat ketika Jepun dilanda Tsunami, atau New Zealeand dilanda gempa bumi.

Sepertinya, mereka ingin memberitahu, Air Asia ada bersama kamu, di saat susah dan senang.

Berbalik pada kisah “Ops Piramid” saya ada dan menyaksikan bagaimana Kamarudin sendiri ‘singsing lengan’ membantu apa yang patut sepanjang operasi yang melibatkan juga TUDM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dia bukan jenis orang yang bagi pesawat dan berdoa, sebaliknya dia turut serta ketika kami berdepan saat-saat getir, termasuk tidak mendapat hak untuk mendarat ketika pesawat sudahpun di ruang udara.

“Hari itu, jika kita tidak dapat hak mendarat, saya sudah buat keputusan untuk ke Abu Dhabi,” katanya mengenang kembali peristiwa cemas tersebut.

Satu perkara yang saya dapat rasakan bersama bos-bos Air Asia ini adalah mereka ‘sempoi’.

Boleh bercakap apa sahaja dengan sesiapa sahaja tanpa memandang kedudukan atau taraf orang itu.

Juga fakta ini, dari dalam buku laporan tahunan Air Asia 2010, bahawa lima dari sembilan lembaga pengarah syarikat tersebut adalah Bumiputera.

Juga 10 dari 22 pengurus kanan Air Asia adalah Bumiputera dan selebihnya mewakili berbagai kaum di Malaysia juga seorang ‘Mat Saleh’

Memang majoriti kakitangannya adalah Bumiputera, tapi Tony ada pandangan lain mengenainya… “Kami tidak bercakap soal kaum di sini, semua dinilai kerana merit masing-masing,” katanya tegas.

Jika kita membaca profail pengurus kanannya, kita tahu mengapa Air Asia berkembang dengan cepat dan pantas.

Syarikat itu mempunyai ‘modal insan’ yang hebat-hebat. Samada kerana kelulusan yang tinggi dari universiti terbaik seluruh dunia, atau pengalaman yang panjang dalam bidang masing-masing.

Contohnya Ketua Kewangan Korporatnya, Aireen Omar, mula bekerja dengan Deutche Bank Securities di New York. Kelulusan ekonomi dari London School of Economies and Political Science yang sambung Sarjana Ekonomi di New York University.

Atau contoh lainnya Ketua Jabatan Sumber manusia Adzhar Ibrahim yang berpengalaman selama 29 tahun dalam bidang tersebut dari berbagai-bagai sektpr 
Ahmad Faizul sendiri kakitangan awal Air Asia sejurus diambil alih oleh Tune Air Sdn Bhd dari DRB Hicom.

Dia bermula sebagai ahli krew dan mendaki pel bagai tangga hingga kini diiktiraf Tony sendiri “orang yang menguruskan komunikasi saya,”

‘The best brain’ ini bersama-sama dengan mimpi dan keyakinan bahawa tidak ada sesuatu yang mustahil, maka tidak hairanlah Air Asia dari dua pesawat kini sudah memiliki 186 pesawat dengan ratusan laluan perjalanan.

“Falsafah kami adalah menarik yang terbaik, latih dan mengekalkan mereka. Bukan sahaja terbaik dari segi kelayakan akademik tetapi sikap yang betul, keterbukaan kepada idea baru, keupayaan untuk berfikir dengan cara berbeza dan bila keadaan sukar, mencuba dan terus mencuba,” kata Tony mengenai pekerjanya.
 
“ONE People, ONE Culture, ONE Air Asia, ONE Family,” itu visinya.

Kini selepas 10 tahun beroperasi bermula September 2001, dari hanya mengangkut 250,000 penumpang pada 2002, mereka memperolehi 50 juta penumpang pada 2008 dan 1 bilion pada Oktober 2010.

Keuntungannya pada tahun lepas melebihi RM 1 bilion.

Tentulah Air Asia merupakan syarikat yang membanggakan Malaysia. Kini ia berkembang bukan sahaja di dalam negara, bahkan di rantau ASEAN. Sudah ada Air Asia Thailand dan Indonesia. Sudah ada hub penerbangan di negara-negara tersebut.

Pada Ogos 2012 pula dijangka Air Asia Japan akan dilancarkan.

Selain itu, Air Asia X, kini menumpukan penerbangan jarak jauh ke Eropah, dengan penerbangan ke London dan Paris.

Semua pencapaian ini, adalah merit tersendiri, untuk sekurang-kurangnya Tony dan Kamaruddin melakukan sesuatu bagi memperkasakan lagi syarikat penerbangan negara MAS.

 





Tan Sri Dr Tony Fernandes kelihatan santai dengan berbaju-t putih dan seluar jeans hitam. Tanpa cap Air Asia yang selalu dipakainya pada majlis rasmi syarikat penerbangan tambang murah ‘Now everybody can fly’, beliau menyambut kami dengan wajah ceria. Dari awal, Tony bercerita dan bercerita sehingga satu jam 30 minit seterusnya.

Asalnya masa sebenar yang ditetapkan untuk pertemuan itu hanyalah 30 minit, tetapi kisah kejayaanya, terlalu  seronok untuk diceritakan dan didengar. Namun dicelah kejayaan itu ada banyak syak wasangka yang berlegar terhadap  Tony dan Air Asia. Kemuncaknya apabila namanya dan Datuk Kamarudin Meranun diumumkan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif MAS dalam jalinan kerjasama kedua-dua syarikat penerbangan negara itu yang diumum baru-baru ini.

Tetapi dengan Agendadaily, Tony meluahkan segalanya, bagaimana impian beliau untuk berkongsi kejayaan dengan MAS dan mengambil kembali ‘lost trafic’ yang hilang di pihak Singapore Airlines.

Beliau  juga menjawab tuduhan Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Chee Ckong, yang katanya ‘mengarut’ dan bersedia bersemuka dengan Wee untuk memberikan penjelasan lengkap.

Tapi sebelum ke cerita-cerita sensasi, baca ini dulu… kisah tentang bagaimana belau menukar mimpi menjadi kenyataan dengan keyakinan bahawa tiada yang mustahil.

Bayangkan Air Asia yang diambil alih Tony dan rakan-rakannya pada 8 September 2001… dengan dua pesawat dan 254 krew dari DRB Hicom kini mempunyai 186 pesawat dan lebih 9,000 kakitangan di Malaysia sahaja.

Cool, itu perkataan sesuai untuk Tony  nama penuhnya,  Anthony Francis Fernandes yang berkerja sebagai bos Warner Music Malaysia sebelum menjadi ahli perniagaan pengangkutan udara.

Ketika mula berbicara , beliau relaks saja membuka jalan untuk ‘ tembak ‘ apa jua soalan. “Kamu tanya saya tentang apa saja, Kalimullah, Khairy, tentang Ananda Krishnan apa saja, saya terbuka, tiada apa yang mahu disembunyikan.”

Ada banyak yang diperkatakannya, kisah bagaimana Air Asia bermula dengan beliau, Datuk Kamarudin Meranun, Datuk Aziz Bakar dan Datuk Pahamin Ab. Rajab mengambil alih dari DRB Hicom dengan membayar RM1.

Ya seringgit saja, dengan sejumlah hutang dan 254 kakitangan, 6 destinasi.Juga jangan terkejut, modal permulaannya yang berjaya dikumpul mereka hanyalah sejuta ringgit.

“Sejuta itu bulan pertama sudah kena bahagi separuh untuk bonus 254 kakitangan, dan separuh untuk kos operasi” katanya ketawa.




Beliau melalui syarikat Tune Air Sdn Bhd melengkapkan proses pengambialihan Air Asia dari DRB Hicom pada 8 September, 3 hari sebelum 11 September 2001 yang menyaksikan dua pesawat ‘menyerang’ WTC di Amerika Syarikat dan penduduk seluruh dunia fobia menaiki kapal terbang.

Sebelum itu, ada kisah lucu bagaimana Tony pertama kali bertemu Tun Dr Mahathir Mohamed untuk membentangkan cadangannya tentang syarikat penerbangan tambang murah.

“Saya tanya Pahamin, bagaimana hendak dapat lesan penerbangan, katanya, kita mesti jumpa Perdana Menteri, jadi Pahamin aturkan dan ditetapkan pada satu hari pertengahan Jun 2001.

“Saya sampai di depan pejabat PM di Putrajaya jam 8.00 pagi, walaupun temujanjinya jam 11.00, saya teruja sebab inilah kali pertama jumpa dengan PM.

“Semasa kami menunggu, ada pegawai PM beritahu, hari ini bukanlah hari yang baik untuk bertemu PM, saya tanya mengapa, katanya, temujanji pertama PM hari itu adalah dengan pembangkang.

“Ia berhubung isu sakit belakang Anwar Ibrahim yang dipenjara ketika itu, yang hadir jumpa PM termasuk ketua pembangkang Datuk Fadzil Noor.

“Saya diam, kemudian diberitahu, temujanji kedua PM hari itu adalah dengan MAS, wah lengkap, mula-mula pembangkang kemudian dengan MAS, kamu bayangkan…kah kah kah (ketawa)”

Menurutnya, ketika beliau masuk ke pejabat PM, Dr Mahathir terus berkata, “I’m sick, make it fast,”

“Saya fikir habislah, saya tidak bercakap soal cadangan kami lagi, sebaliknya, sebagai orang dari industri hiburan, saya beri PM satu CD album terbaru S M Salim dan Siti Nurhaliza, saya tahu PM peminat SM Salim.

“Bila hilang kekok, baru saya bentangkan cadangan saya, kami semua terkejut, kerana PM tahu semuanya tentang penerbangan tambang murah.

Dr Mahathir menurut Tony,  seorang yang tajam pemikirannya dan cepat memahami sesuatu isu yang dibangkitkan.

Beliau memberikan komen-komen yang bernas dan akhirnya berkata, “Saya tidak mahu keluarkan lesen baru, sudah banyak lesen, kamu ambil alih dari pihak yang sudah ada tetapi tidak dapat beroperasi,”

Dari situlah, Tony dan rakan-rakannya tidak menoleh ke belakang lagi, satu demi satu kejayaan dicapai.

Tetapi kejayaan paling besar tentulah pada Oktober 2010, Air Asia meraikan penumpang ke 100 juta yang menaiki pesawatnya. Siapa sangka benar-benar seperti mottonya “Now everyone can fly”

Suri rumah warga Indonesia, Irma Dewa yang menjadi penumpang ke 100 juta Air Asia membeli tiket penerbangan ke India untuk menemui suaminya yang bekerja di sana.

Kejayaan demi kejayaan, sudah tentu dicemburui, Tony kini bukan hanya taikun penerbangan, dia juga pemilik pasukan lumba kereta Lotus F1, dan pasukan liga perdana Inggeris Queens Park Rangers (QPR).

Perlukan wang yang banyak untuk semua itu, tapi bagi Tony, ia satu pelaburan.

“You have to spent...” katanya ditanya mengenai hobi beliau luar biasa beliau itu.

“Tengok Emirates (syarikat penerbangan) ia ada di mana-mana, minta maaf cakap, jika ke London, orang lebih mengenali Air Asia dari MAS kenapa? Kerana Air Asia berbelanja untuk memperkukuh jenamanya,” katanya.

Air Asia juga dikatakan punya akses politik yang besar melalui beberapa orang.

Termasuk Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Pengarang NSTP Datuk Kalimullah Hassan.

Beliau jawab dengan terus terang tanpa berselindung.

Tentang Khairy dan My Team, tentang Kalimullah, ECM Libra dan Air Asia X.

Juga tentang ‘urban legend’ bahawa pemilik sebenar Air Asia adalah jutawan telekomunikasi Tan Sri Ananda Krishnan.

Cerita dari mulut ke mulut ini sudah lama diperkatakan, dan kononnya kalimah AK pada setiap kapal terbang Air Asia itu singkatan bagi Ananda Krishnan.

Tony ketawa bila saya tanyakan soalan tersebut. Beliau mengaku selalu ditanya begitu.

“Mengarut. AK itu dipilih oleh bekas CEO DRB-Hicom Tan Sri Yahaya Ahmad (Allahyarham) lama sebelum dimiliki oleh kami.

“Bukan saya yang pilih AK, ia memang sedia ada ketika saya ambil alih dari DRB-Hicom, dan itulah no dua pesawat asal kami...

“Tidak ada kena mengena dengan Ananda Krishnan, ada juga gossip kononnya Tun Daim Zainuddin juga pemilik Air Asia. Haha (ketawa)”




 

No comments: